Sarawak bersetuju dengan pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi edisi tahun ini.

Malah menerusi pengumuman Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan ditangguhkan.

Menurut Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, keputusan itu wajar kerana banyak silibus pembelajaran yang perlu dihabiskan.

“Sekiranya sesi persekolahan bermula semula seperti biasa pada Julai atau Ogos tahun ini, pastinya tiada masa untuk menyelesaikan banyak silibus.

“Jadi bagi saya ini merupakan keputusan terbaik sepanjang kita mendepani COVID-19 ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Bagaimanapun Manyin turut menyuarakan kebimbangannya berkaitan proses pemilihan calon tingkatan empat untuk aliran sains tulen memandangkan PT3 dibatalkan untuk tahun ini.

“KPM memaklumkan ada kaedah yang akan dibuat mengenai pemilihan pelajar tingkatan tiga untuk meneruskan pembelajaran sains tulen apabila memasuki tingkat empat.

“Untuk makluman, hanya 22 hingga 23 peratus sahaja pelajar di Sarawak yang miliki kelayakan meneruskan pembelajaran dalam kelas sains tulen dan saya merasakan perkara ini perlu diambil kira," katanya.

Antara lain, Manyin turut menjelaskan kementeriannya dan Jabatan Pendidikan Sarawak giat mengumpul data mengenai masalah pembelajaran atas talian di negeri itu.

“Saya sudah meminta pegawai Jabatan Pendidikan Sarawak melakukan perkara ini dengan mendapatkan maklumat siapa yang tiada akses internet.

“Kedua pelajar dan guru yang tidak memiliki gajet dan komputer, kita akan mengumpul maklumat dan akan memberikan kepada Kementerian Pendidikan," katanya.

Seramai 41,094 calon UPSR, 37,642 calon PT3, 33,054 calon SPM dan 6,782 calon STPM sepatutnya menduduki peperiksaan tahun ini di Sarawak.