Negeri Sarawak kini mempunyai 18 buah hospital saringan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menrutnya, pertambahan itu membabitkan sebanyak 72 peratus berbanding lima buah hospital pada
fasa gelombang pertama wabak berkenaan.

Terdapat empat buah hospital telah dikenal pasti sebagai pusat rawatan COVID-19 (iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Bintulu dan Hospital Sibu) dengan jumlah 736 katil yang dikhaskan bagi kes
COVID-19.

"Hospital-hospital ini dilengkapi dengan 63 katil rawatan kritikal dengan 112 mesin bantuan pernafasan (ventilator).

"Selain daripada itu, terdapat 5 buah fasiliti yang telah dikenalpasti sebagai pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah dengan kapasiti 901 buah katil.," katanya dalam sidang media harian pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata,terdapat empat buah makmal bagi menjalankan ujian pengesahan COVID-19.

Kesemua makmal itu ditempatkan di Hospital Umum Sarawak; Hospital Sibu; Hospital Miri; dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

"Secara keseluruhannya, jumlah ujian pengesahan yang dapat dijalankan di empat makmal ini adalah 898 ujian, dan ini akan dipertingkatkan ke 1,040 ujian sehari.

Jelas beliau, Hospital Umum Sarawak bakal mendapat sebuah mesin Lab Turbo yang dijangka beroperasi pada awal Mei 2020 dengan kapasiti 200 ujian sehari.

"Hospital Bintulu pula dijangka menjalankan ujian mulai pertengahan bulan Mei (dengan kapasiti 30-40 ujian sehari).

"Sekiranya ada keperluan, KKM akan menghantar sampel ke makmal hospital di Semenanjung Malaysia atau ke makmal swasta sebagai salah satu perancangan peningkatan kapasiti makmal jangka masa pendek," jelas beliau.