Sarawak tidak akan membenarkan sebarang syarikat yang menjalankan aktiviti ekonomi di zon hijau untuk beroperasi sekiranya didapati ada pergerakan dan pembekalan dari kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah wabak COVID-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mana-mana syarikat yang dibenarkan beroperasi di negeri itu wajib mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Malah, jelas beliau permohonan untuk beroperasi perlu dihantar kepada Sekretariat JPBN Sarawak bagi tujuan kelulusan dan rekod.

“Kita sebahagian besar di negeri Sarawak hampir 65 peratus dalam kawasan diklasifikasikan sebagai kawasan hijau. Di kawasan hijau ini kita kaji aktiviti ekonomi yang kita benarkan untuk kita menentukan aktiviti ekonomi yang boleh berjalan.

“Dalam masa sama, kita juga menentukan bahawa penularan wabak itu dari kawasan merah kepada hijau dapat dielakkan,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan beberapa tempat oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mewujudkan pasar tani, ujar Uggah ia tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Beliau berkata demikian pada sidang media JPBN di Dewan Undangan Negeri (DUN), Kuching.