Aktiviti saringan COVID-19 akan tetap diteruskan ke atas kluster dan sub kluster jemaah tabligh Sri Petaling di sebalik pengumuman penamatannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia termasuk saringan ke atas penghuni sekolah tahfiz dan madrasah yang terlibat.

"Contohnya sekolah tahfiz dan madrasah masih kita jalankan saringan. Jadi kalau ada keperluan, ada tanda-tanda peningkatan kes contohnya kalangan jemaah tabligh, kita akan terus jalankan ujian saringan itu.

"KKM akan gunakan saringan tertumpu iaitu kepada kumpulan berisiko yang dikenal pasti dan lokaliti-lokaliti tersebut. Kita akan teruskan saringan dan kepada lokaliti atau komuniti yang belum disaring, kita akan menjalankan kajian," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

BACA: COVID-19: Berita gembira, kluster Sri Petaling diisytihar tamat

Kementeriannya juga sudah bersiap-sedia menjalankan penyelidikan imuniti dalam komuniti.

"Saringan kita berbeza iaitu tidak hanya menggunakan RTK Antigen, tetapi kita mungkin akan menggunakan RTK antibodi. Jadi RTK antibodi itu kita nak tahu berapa ramai telah ada terdedah kepada virus dan telah pulihpun. Jadi kalau antibodi ada, barulah kita jalankan saringan melihat antigen atau virus itu ada," ujarnya.



Dalam pada itu, katanya, kes terakhir bagi kluster jemaah Sri Petaling melibatkan kes ke-8,367 iaitu lelaki warganegara Filipina, merupakan pelajar di sebuah Madrasah di Sungai Lui.

"Saringan ulangan pada 10 Jun, menunjukkan beliau didapati positif tetapi beliau tidak menunjukkan sebarang gejala. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan sembuh pada 24 Jun 2020," tambah beliau.

Manakala, kes sembuh yang terakhir bagi Kluster jemaah Sri Petaling ialah kes 769 lelaki 83 tahun dari Batu Pahat, Johor yang merupakan generasi pertama kluster tersebut.

"Kes ini adalah daripada sub-kluster majlis perkahwinan Bandar Baru Bangi dan mencatatkan 159 kes. Beliau mengalami simptom pada 9 Mac dan dimasukkan ke Hospital Permai, Johor pada 16 Mac 2020.

"Setelah dikesan positifif esoknya, beliau dipindahkan ke Hospital Hajah Kalsom di Kluang , dimasukkan ke ICU dan discaj dari ICU pada 21 Jun 2020. Beliau kemudian sembuh dan discaj pada 6 Julai 2020 namun dimaklumkan kepada KKM pada 7 Julai 2020," katanya lagi.