Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Saripuddin Kasim dilantik Pengerusi Eksekutif MAVCOM baharu

Saripuddin Kasim dilantik Pengerusi Eksekutif MAVCOM baharu
Menurut MAVCOM, Pelantikan Saripuddin berkuat kuasa mulai 4 Mei 2020.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Saripuddin Haji Kasim sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM baharu.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hari ini (1 Mei).

Pelantikan Saripuddin berkuat kuasa mulai 4 Mei 2020.

Saripuddin sebelum ini pernah menjadi anggota Suruhanjaya dari 1 Mac 2016 hingga 6 Januari 2019, semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia.

Sebelum bersara wajib dari Perkhidmatan Awam Malaysia pada bulan November 2019, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan.
Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Diploma Lanjutan Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Korporat) dari University of Hartford, Connecticut, USA.

MAVCOM juga mengesahkan Dr. Nungsari Ahmad Radhi telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM pada 10 April 2020.

Nungsari telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM pada 1 Julai 2018, dan sebelum itu telah turut berkhidmat sebagai anggota badan itu sejak 1 Mac 2016.