Seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera di beberapa bahagian badan dipercayai disimbah asid oleh seorang lelaki yang berpura-pura menyerahkan hamper di hadapan rumahnya di Taman Mahkota Putra di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.10 petang itu, mangsa yang berusia 51 tahun itu melecur di dada, belakang tengkuk, lengan kiri, pipi kanan, leher dan dahi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian, isteri mangsa yang berusia 50 tahun mendakwa seorang lelaki menunggang motosikal seperti ‘mat despatch’ menghampiri perkarangan rumah mereka dan memanggil mangsa keluar untuk menyerahkan hamper.

"Suspek didakwa memujuk mangsa untuk mengambil hamper itu dan mangsa mengambilnya sebelum berpaling untuk masuk ke rumah.

"Selepas itu, suspek bertindak menyimbah asid ke arah mangsa sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa bersama keluarga baru tiba di rumah mereka dari Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati suspek sebelum itu datang ke rumah mangsa lebih awal dan menekan loceng rumah tetapi beredar selepas mendapati rumah itu kosong.

"Lelaki itu dipercayai kembali semula ke rumah mangsa yang berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sambil membawa hamper," katanya.

Mohamad Noor berkata, polis kini giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.