Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan satu keajaiban buat Malaysia apabila tidak diisytihar bankrap gara-gara kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Kata Perdana Menteri, bukan sahaja kerosakan yang berlaku pada institusi dan kewangan, bahkan seluruh jentera kerajaan telah disubversif dan dilemahkan.

"Salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara.

"Walaupun 1MDB merupakan satu monstrositi,kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya kerosakan yang disebabkannya kepada negara.

"Satu keajaiban apabila negara ini tidak muflis," kata Dr Mahathir ketika memberikan ucaptama sewaktu merasmikan Persidangan ISIS PRAXIS di ibu negara, pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut memberi amaran perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China mungkin membawa impak yang jauh lebih buruk daripada yang dijangka.

"Secara ekonomi, kita mempunyai kaitan dengan kedua-dua pasaran, dan secara fizikal kita juga terperangkap di tengah atas sebab geografi. Malah terdapat juga kemungkinan kita sendiri akan menjadi sasaran sekatan.

"Kita boleh mengharapkan yang terbaik dan bersedia menghadapi situasi buruk dengan bekerjasama dengan jiran-jiran Asia Tenggara kita untuk memastikan kesannya dapat diminimakan," tambah beliau.

Perdana Menteri juga menekankan betapa pentingnya negara membangunkan syarikat bertaraf dunia untuk terus bersaing, dengan cara mengenal pasti aset dan keupayaan untuk meningkatkan keupayaan menerusi pelbagai cabang teknologi baharu.