Seorang lelaki berusia 58 tahun menjadi korban banjir kedua di Johor selepas mayatnya dijumpai pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan Ladang Felda Palong Timur dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata pasukan SAR yang dianggotai oleh polis, bomba dan penduduk kampung menemui mangsa dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian pada 2.30 petang tadi.

"Mangsa dikenali sebagai Tarmin Katimun dan berkerja sebagai pengawal keselamatan di ladang itu. Mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat,"katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

BACA: Korban banjir Segamat ditemui

Beliau berkata pengecaman mayat mangsa dibuat oleh anggota keluarganya dan majikannya.

Raub berkata lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Mensudut Lama di sini sebelum motosikal yang ditungganginya dihanyutkan arus deras petang semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika mengharungi air banjir dan sentiasa memakai jaket keselamatan apabila menyeberangi sungai atau kawasan dilanda bah.

Sebelum ini, mayat lelaki berusia 21 yang menjadi korban pertama banjir di Johor, selepas terjatuh dari bot di Kampung Tengah dekat sini dua hari lepas, ditemui kira-kira 7.45 pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Mohd Faiz Syafiq hilang manakala empat lagi terselamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan dari Jalan Pemuda untuk ke rumahnya di Kampung Tengah.

-- BERNAMA