Dua pekerja pembinaan sebuah kondominium di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini terperangkap apabila struktur bangunan tersebut runtuh kira-kira jam 3.30 petang Jumaat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi bagaimanapun berkata, seorang daripada mangsa telah berjaya diselamatkan.

"Mangsa pertama berjaya diselamatkan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

"Manakala mangsa kedua sedang diselamatkan di mana Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) sedang digerakkan ke lokasi yang agak sukar," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Sejumlah hampir 150 anggota dari pelbagai agensi digerakkan membantu operasi mencari dan menyelamat tersebut. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Tambahnya, operasi tersebut berdepan kesukaran lantaran struktur runtuhan tersebut bermula dari tingkat enam.

Tegasnya, disebabkan struktur runtuhan yang tidak stabil, hanya penyelamat terlatih serta memakai pakaian keselamatan lengkap dibenarkan melaksanakan operasi.

"Runtuhan memang besar di satu sudut bangunan di mana mangsa (kedua) berada di bawah runtuhan tapi di ruang yang selamat.

"Kita tidak benarkan mereka yang tidak ada PPE dan latihan untuk masuk kerana kita ingin meminimakan kes-kes baharu," ujarnya.

Operasi tersebut berdepan kesukaran lantaran struktur runtuhan tersebut bermula dari tingkat enam. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

Sejumlah hampir 150 anggota dari pelbagai agensi digerakkan membantu operasi mencari dan menyelamat tersebut.

Tambahnya, struktur berkenaan akan ditutup sementara dan dinilai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ( JKKP).

Sehingga kini, punca runtuhan masih dalam siasatan.

Kejadian runtuhan struktur berlaku jam 3.30 petang tadi melibatkan parking tingkat enam sturktur terbabit yang runtuh sehingga tingkat satu.