Satu maut, dua cedera kemalangan Myvi dan Hilux

Satu maut, dua cedera kemalangan Myvi dan Hilux
Keadaan kereta Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Simpang Pulai pada Khamis. Foto JBPM
IPOH: Seorang wanita berusia 60 tahun maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah perodua Myvi dan Hilux di Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands dekat sini pada Khamis.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.45 pagi berhubung kemalangan itu sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Perodua Myvi dan Hilux yang telah berlanggar, terdapat tiga orang mangsa terlibat.

"Seorang lelaki berumur lingkungan 30 tahun yang memandu Hilux hanya mengalami kecederaan ringan, manakala seorang wanita berumur lingkungan 30 tahun cedera parah.



"Dan seorang wanita berusia kira-kira 60 tahun yang menaiki Perodua Myvi maut di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya lagi, anggota yang bertugas menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa serta membuat rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke hospital.