Satu mayat daripada tiga mangsa yang dipercayai terjatuh ke dalam tangki minyak diesel yang meletup di sebuah kilang simen di Jalan Kuang di Rawang di sini ditemui petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mangsa ditemui pada pukul 2.50 petang.

"Buat masa ini identiti mangsa belum dapat dipastikan kerana badannya dipenuhi minyak hitam. Usaha mengesan dua orang lagi mangsa masih giat dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, tiga lelaki berumur antara 28 hingga 49 tahun sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas tangki minyak itu sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan mereka terjatuh ke dalam tangki.

Susulan itu pasukan penyelamat terpaksa mengeluarkan lebih 725,000 liter minyak diesel dari tangki setinggi 4.26 meter itu bagi mencari mangsa terbabit.

-- BERNAMA