Sejak kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, satu saat pun tidak pernah dipersiakan oleh ahli keluarga untuk berdoa agar keadilan dalam kes tersebut dapat ditegakkan.

Itu luahan ibu arwah, Asma Aziz, 52 tahun, yang berharap agar keputusan inkues bagi mencari punca kematian Muhammad Adib yang akan diumumkan esok, memihak kepada keluarganya.

Tambahnya, dia sangat berharap agar seluruh rakyat Malaysia untuk sentiasa berdoa supaya keputusan yang akan diumumkan dibuat secara adil oleh pihak terlibat.

"Tiap-tiap hari berdoa untuk dia... satu saat pun tak lupa. Masa pergi Mekah dulu itulah yang terawal saya doakan. Saya banyak doakan untuk dia.

“Hari ini ada bacaan Yasin (pada sebelah malam) di masjid. Harapan saya supaya (keputusan inkues) memihak kepada Adib. Keluarga hanya mahukan keadilan... Harapan (keluarga) hanya mahu keadilan,” ujarnya.

Asma berkata demikian ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, selepas majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk arwah Adib pada Khamis.

Ogos lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam telah menetapkan 27 September sebagai tarikh keputusan prosiding inkues berhubung kematian Muhammad Adib.

Berdasarkan kenyataan Koroner Rofiah Mohamad, penetapan tarikh terbabit dibuat selepas mendapati tiada lagi keperluan untuk meneruskan prosiding inkues itu selepas ia ditutup 24 Julai lepas.

Muhammad Adib meninggal dunia akibat cedera parah dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada November tahun lalu, dan sejak itu perjalanan inkuesnya menjadi tumpuan ramai.