Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini secara sinis berkata akan memohon bajet daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membeli plakad agar anggota polis Cawangan Khas (SB) dapat memperkenalkan diri mereka.

Ia sebagai respon kepada permintaan Parti Warisan Sabah (Warisan) supaya anggota SB memperkenalkan diri mereka terlebih dahulu apabila menghadiri sidang media parti berkenaan.

"Saya akan mohon bajet daripada KDN untuk kami beli plakad bagi anggota Cawangan Khas perkenalkan diri mereka," katanya secara berseloroh pada sidang media sempena Majlis Serah Tugas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.

Bagaimanapun, jelasnya isu berkenaan tidak seharusnya ditimbulkan oleh mana-mana pihak kerana polis hanya menjalankan tugas serta memantau keselamatan semata-mata.

Ketika ditanya sama ada polis akan akur dengan permintaan tersebut, Abdul Hamid menegaskan tugasan anggota akan tetap dijalankan.

Malah, katanya gesaan terbabit tidak memberi kesan langsung kepada pengoperasian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) seperti yang telah dijalankan sejak 212 tahun dahulu.

“Ini bukan isu sama sekali. Bagi saya perkara ini tidak menjejaskan PDRM.

"Polis akan meneruskan tugasan mereka seperti biasa, kerana 212 tahun PDRM diwujudkan dan sudah tentu pelbagai pengalaman serta kekangan yang pernah kami lalui sebelum ini. Jadi bagi saya, tiada isu,” kata Abdul Hamid.

Malah, katanya kehadiran anggota polis dalam mana-mana majlis adalah bagi membantu mengawal keselamatan terutamanya sidang media yang boleh menimbulkan suasana tidak senang.

“Kita tidak akan berdepan dengan apa-apa masalah bila buat liputan. Yang penting niat mereka baik bila buat sidang media situasi panas.

"Jadi adil ada polis di situ bagi mententeramkan keadaan. Kalau ada larangan, laranglah. Kalau polis melakukan tugas, dia akan ada di situ,” kata Abdul Hamid.

Terdahulu, Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata anggota SB perlu menunjukkan identiti mereka terlebih dahulu sekiranya mahu menghadiri acara parti.

Ia susulan terdapat dakwaan bahawa pegawai polis SB dihalang dari memasuki sidang media yang diadakan parti tersebut.