Datuk Seri Mohamad Hasan menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau terbatal dan tidak sah.

Dalam masa sama, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden itu akan mempertahankan kerusi berkenaan.

"Saya akan pertahankan kerusi DUN Rantau, Insya-Allah," katanya dalam catatan di laman Facebook peribadinya.

Sementara itu, bercakap pada wartawan selepas keputusan mahkamah, Mohamad berkata, beliau menghormati keputusan pembatalan kemenangannya di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lalu.

"Saya hormati keputusan yang dibuat dan saya telah lama bersedia untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di Rantau. Saya terima dengan hati terbuka dan menghormati proses undang-undang," kata Mohamad di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Mohamad dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya.

Ini bermakna satu lagi pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan dalam tempoh sedikit masa lagi, di kawasan N27 Rantau, Negeri Sembilan.

BACA: Mahkamah Persekutuan batal kemenangan Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau