Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan beliau hanya akan bertanya mengenai tindakan Presiden Amanah Mohamad Sabu menggunakan helikopter ke Cameron Highlands bagi Kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands apabila bertemu dengan Menteri Pertahanan itu.

Bagaimanapun jelasnya, teguran Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun supaya tidak menggunakan jentera kerajaan bagi Pilihan Raya Kecil perlu dihormati.

"Paling mustahak kita ikut piawaan yang diletakkan. Pada Isnin saya juga akan ke Cameron Highlands atas kapasiti saya memandu sendiri dan semua buat sendiri, kita tepati piawaian.

"SPR ada taring baru saya hormati dan takut juga. Kalau amaran dah disampai kita kena terima," jelasnya.

Tindakan Menteri Pertahanan itu menggunakan helikopter tersebar di laman sosial itu menerima pelbagai kritikan netizen.

Bagaimanapun Mohamad menafikannya dengan menyatakan ia lawatan rasminya sebagai menteri yang telah dirancang awal.