"Saya benar-benar sedih tinggalkan UMNO, tetapi.. " - Rahim Thamby Chik

"Saya benar-benar sedih tinggalkan UMNO, tetapi.. " - Rahim Thamby Chik
Rahim berkata tindakannya untuk keluar parti itu dilakukan secara sukarela dan tidak didesak atau menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pihak.
MELAKA: Bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik hari ini dilaporkan mengumumkan keluar UMNO dan menyerahkan permohonan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengakui sedih untuk membuat keputusan berkenaan selepas lebih 40 tahun berjuang dalam UMNO, namun ujarnya tiada lagi sebarang kapasiti yang dilihat mampu menggerakkan UMNI untuk berjuang mempertahankan bangsa Melayu dek kerana kesilapan pemimpin sedia ada.

Katanya, UMNO kini tidak ubah seperti satu ‘kanser rasuah’ yang sukar untuk diubati dan akhirnya memakan akar umbi parti itu sendiri dengan perjuangan yang telah jauh terpesong selepas pemimpin-pemimpin tertingginya terang-terangan terpalit dengan pelbagai skandal wang.

"Saya sedih tinggalkan UMNO setelah lebih 40 tahun berjuang dalam parti itu untuk orang Melayu, saya keluar kerana Bersatu kini boleh membela orang Melayu dengan lebih baik, cekap dan berkesan yang mana UMNO kini sudah tiada kapasiti untuk bergerak demi perjuangan orang Melayu.
"Kesilapan pemimpin UMNO menabur budaya rasuah menjadi kanser yang memakan akar umbi UMNO itu hingga semakin sukar diperbetulkan dan pada pilihan raya umum lepas UMNO kecundang," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan borang keanggotaan Bersatu di Ayer Keroh di sini hari ini.


Beliau berkata tindakannya untuk keluar parti itu dilakukan secara sukarela dan tidak didesak atau menerima apa-apa tawaran daripada mana-mana pihak.

Terdahulu beliau menyerahkan borang keanggotaannya bersama kira-kira 100 permohonan lain kepada Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang juga Menteri Pembangunan Usahawan.

Abdul Rahim merupakan Ketua Menteri Melaka keenam yang memegang jawatan itu antara 26 April 1982 hingga 14 Okt 1994 dan pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk penggal 1993-1996.

Abdul Rahim merupakan veteran UMNO dan juga bekas Ketua Menteri Melaka yang keenam selain pernah memegang Naib Presiden UMNO di peringkat akar umbi politik.

Beliau pernah menjadi pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Yayasan Penggerak Wawasan (YPW) dan Gagasan Ekonomi Penggerak Melayu (GAPEM).

Dalam pada itu Abdul Rahim ketika dihubungi Astro AWANI untuk mengesahkan isu berkenaan memberitahu, kemasukan ahli-ahli baru ke dalam Bersatu termasuk dari UMNO boleh dianggap satu penghijrahan politik seperti hijrahnya Rasulullah dari Mekah ke Madinah.

"Ia satu jihad Islamik dan fardu kifayah demi menyelamat dan mempertahan kuasa politik Melayu di negara ini selagi ada bulan dan bintang," ujarnya.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, penyertaan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), terutamanya UMNO, ke dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) akan memberikan kemudahan kepada kerajaan untuk menggubal dasar.

Jelasnya, penyertaan beramai-ramai wakil rakyat pembangkang itu akan memberikan PH kekuatan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.