Saya bertuah Siti Hasmah sentiasa di sisi - Tun Mahathir

Saya bertuah Siti Hasmah sentiasa di sisi - Tun Mahathir
Dr Mahathir juga berkata beliau tidak tahu bagaimana Siti Hasmah boleh bertahan dengannya selama 63 tahun. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sangat bertuah kerana isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sentiasa ada di sisinya.

"Dikatakan disebalik kejayaan seorang lelaki adanya seorang wanita. Saya tidak pasti apakah saya berjaya kerana pekerjaan saya, yang hingga hari ini masih bekerja, dan sentiasa dihakimi sepanjang masa.

"Apa pun, saya bertuah kerana ada Hasmah bersama saya sepanjang 63 tahun, tidak kira naik atau jatuh," katanya ketika berucap pada majlis 'My Voice My Nation 2019' di Bukit Jalil.
Dr Mahathir juga mengakui tidak tahu bagaimana Siti Hasmah boleh bertahan dengannya selama 63 tahun.

"Beliau seorang doktor tentunya ia bonus kerana terutamanya pada usia sekarang, saya mempunyai seorang doktor di sisi saya sepanjang masa," katanya lagi.


Dalam ucapannya, Dr Mahathir menceritakan perjalanan kehidupannya sejak kecil seperti kesukaran untuk mendapatkan peluang melanjutkan pelajaran serta sumbangan isterinya dalam kerjaya serta kehidupannya.

“Ketika saya membesar, tidak ramai orang Melayu boleh melanjutkan pelajaran di universiti, hanya keturunan raja atau bangsawan sahaja mampu berbuat demikian. Ada yang menghantar anak mereka ke England.

“Saya bertuah kerana diberikan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Singapura,” katanya yang mengakui kerjaya sebagai doktor mempengaruhi cara beliau membuat keputusan semasa menjadi ahli politik dan Perdana Menteri.

Tag: Mahathir Mohamad, Siti Hasmah Mohamad Ali, doktor, My Voice My Nation 2019, Arena Axiata, tun mahathir, Tun M


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.