Semua pihak diminta tidak melayan apa sahaja usaha menyebar berita tidak benar yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Istana Negara pada pagi Rabu.

Presiden PKR itu menegaskan, beliau sudah berada di Dewan Rakyat sejak mula bersidang pada sebelah pagi.

“Jangan layan benda-benda itu, sebab itu saya kata ini fake news, dari pagi saya di sini (Parlimen).

“Saya ada menghadap (Agong) tiga minggu sudah, itu pun viral. Di Istana Melawati, bukan hendak rahsia tetapi tidak ada apa.

“Ini cubaan hendak melagakan daripada pihak yang tidak ada kekuatan tetapi hendak guna penipuan,” katanya semasa ditemui di lobi Parlimen, di sini pada Rabu.

Menurut beliau, sebarang isu melibatkan Pakatan Harapan (PH) sering dibincangkan dengan presiden parti di dalam gabungan itu sendiri.

Anwar juga berharap semua pihak tidak terpengaruh dengan berita palsu sebegini dan menyerahkan kepada Ahli Parlimen sendiri untuk menentukan masa depan politik negara selain menafikan mengetahui sebarang isu yang mahu membangkitkan isu undi tidak percaya.