Setiap titis hujan yang gugur merakamkan kekecewaan, menggegarkan seluruh Stadium Shah Alam malam tadi.

Namun bagi Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, beliau bersikap realistik dan memikirkan kejayaan jangka masa panjang.

“Tiada yang suka kalah. Kita tidak suka kalah. Tiada yang suka kalah,” kata beliau kepada para pemain bola sepak negara malam tadi.

TMJ, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menyampaikan amanat ketika memberikan kata-kata semangat kepada para pemain selepas kekecewaan dalam perlawanan penentuan pingat emas di mana Malaysia tewas kepada Thailand.



“Saya kecewa dengan kekalahan. Namun sebagai Presiden FAM, saya berasa bangga dengan apa kita ada untuk masa akan datang.

“Tiada pemain di sini yang harus sedih. Memang patut sedih. Memang patut kecewa. Tetapi tiada seseorang dalam bilik ini yang memalukan negara. Kalah menang memang adat dalam sukan.

Kata-kata beliau dilihat sedikit sebanyak berjaya meredakan kekecewaan skuad Harimau Malaya yang hampa dalam misi merangkul pingat emas malam Selasa.

“Jika ada satu perkataan yang patut saya sampaikan kepada anda ialah terima kasih. Terima kasih kerana memberikan persembahan yang sungguh baik sepanjang kempen SEA Games.Terima kasih kerana memberikan 100 peratus demi negara kita.

"Itu adalah satu kebanggaan dan pencapaian. Ini tidak bermakna perjalanan kita sudah berakhir; perjalanan kita masih jauh. Inilah masa untuk kita menuju ke hadapan. Anda semua pemain-pemain muda. Anda semua ialah aset kepada negara.

“Apa yang penting sekarang, belajarlah daripada kesilapan. Belajar daripada kekalahan untuk digunakan sebagai senjata untuk masa kita yang akan datang,” kata TMJ lagi.

Skuad bola sepak negara terlepas "ibu segala pingat" selepas tewas 0-1 di tangan Thailand dalam perlawanan akhir, mengulangi sejarah Sukan SEA 2001.