DATUK Dr Nasharudin Mat Isa menyerahkan semua penyata akaun bank peribadi dan yayasan di bawahnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wang berjumlah RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Bekas timbalan presiden Pas itu menjelaskan, semua butiran ditunjukkan selain memberi penjelasan kepada semua maklumat keluar masuk kewangan yang berkenaan.

"Saya amat berpuas hati dengan SPRM, dengan pertemuan tadi dan harapan kita supaya kita biarkan SPRM untuk melaksanakan tugas mereka.

"Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan buktinya.

"Jadi apabila SPRM diberikan ruang selepas ini, saya harap semua pihak yang ada bukti untuk tampil ke depan dan bawa bukti tersebut,"katanya selepas memberikan kenyataan kepada SPRM berhubung dakwaan yang dikenakan ke atasnya, di sini pada Jumaat.

Nasharudin merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF).

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa berkata, beliau tidak dimaklumkan untuk hadir ke SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Dalam sistem pesanan WhatsApp kepada media, bekas naib presiden Pas itu memaklumkan, beliau tidak diberitahu mengenai perkara itu walaupun beberapa pegawai SPRM hadir ke kediamannya di Kelantan pada malam Khamis.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Bahagian Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini berkata, SPRM kini sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada bank.

Katanya, buat masa ini, mereka sudah memulakan siasatan dan sedang mendapatkan dokumen daripada bank untuk diteliti selain sudah berhubung dengan dengan saksi untuk membantu siasatan.

Menurut sumber SPRM, siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report mendakwa pimpinan tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta daripada Najib untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Bagaimanapun, minggu lalu Ahli Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.