Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengakui, beliau mengenali Haziq Abdullah Abdul Aziz, namun hanya dari jauh sahaja.

Menurut beliau, lelaki yang membuat pengakuan dan mendakwa dirinya adalah individu yang melakukan hubungan dalam rakaman video intim yang tular sejak beberapa hari lalu itu telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya mengenalinya (Haziq) daripada jauh sebab dia ahli parti (PKR), dia pernah menjadi ahli parti kemudian menyertai pembangkang selepas menang (Pilihan Raya Umum) lompat balik ke parti Keadilan. Ini karakter indvidu yang diperalatkan dalam fitnah ini," tegas Azmin.

Azmin berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui sempena Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, hari ini.



Mengulas mengenai tindakan Haziq didakwa mempunyai agenda politik menjatuhkan beliau, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR enggan mengulas lanjut dan membuat sebarang spekulasi.

"Saya di sini tidak mahu membuat sebarang spekulasi, fokus utama saya adalah untuk memastikan perkembangan ekonomi negara.

"Itu tanggungjawab saya dalam menentukan dan memastikan pelabur berasa yakin untuk terus melabur di Malaysia. Saya terlalu sibuk dengan tugasan saya dan tidak mahu bercakap mengenai politik," ujar beliau lagi.

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial sedutan rakaman video intim sepasang lelaki yang mencetus perdebatan panjang.


Haziq yang juga Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin membuat pengakuan secara terbuka yang salah seorang lelaki dalam video itu ialah dirinya.

Bahkan, dia turut mendakwa pasangannya dalam video intim itu ialah seorang pemimpin politik yang mirip menteri Kabinet.

Susulan perkembangan kontroversi itu, Azmin dalam reaksinya dengan tegas menafikan tuduhan yang mengaitkan beliau dalam video lucah yang tular sejak Selasa.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Azmin menegaskan tuduhan yang dibuat oleh Haziq itu merupakan komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian beliau.

Azmin juga menyifatkan tuduhan tersebut bertujuan menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.