Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyelar tuduhan liar individu tertentu yang menggambarkan seolah-olah beliau berat sebelah dan hanya menyerang pihak pembangkang.



Malah tegasnya, beliau sama sekali tidak pernah mencampuri urusan politik, apatah lagi membuat kenyataan berbaur politik.



Katanya lagi, tugasnya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) termasuk memerhati dan menegur mana-mana pihak yang berkaitan dan tidak bersifat menyebelahi.

“Ada yang hendak menyuruh saya meletak jawatan, kata saya masuk campur dalam hal politik bila saya keluar kenyataan begitu.

“Yang mengatakan pembangkanglah yang menyebabkan ini semua bila saya keluar kenyataan begitu saya tidak boleh menyebelahi, sekiranya kerajaan salah saya pun tegur sebelum ini begitulah peranan saya saya berani berkata benar, berani menegur saya tak kata pembangkang yang menyebabkan ini semua saya kata memang kebiasaannya dalam mana mana situasi pun bila berlaku perubahan mendadak kerajaan ini akan wujudlah suasana begini di dalam kerajaan sendiri.

"Parti-parti tadi akan bercakaran sesama sendiri untuk menegakkan agenda politik masing-masing,” kata Abdul Hamid selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah, di Batalion 3, Pasukan Gerakan Am Bidor pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pihak berkenaan tidak cuba mengeruhkan lagi keadaan dengan membuat komen-komen tidak berasas.

“Bila pula saya kata saya menyerang pembangkang sahaja? Saya minta orang yang berikan komen begitu fikir balik dengar baik.

“Jangan buat tuduhan melulu begitu seolah-olah saya ini Ketua Polis Negara untuk Pakatan Harapan, tidak, saya Ketua Polis Negara untuk negara ini bukan untuk parti politik,” kata beliau lagi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil baru-baru ini yang menyarankan beliau agar jangan sesekali bersikap partisan atau berat sebelah kepada mana-mana parti politik.


Laporan media itu turut memetik Isham sebagai berkata, beliau disarankan meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara jika ingin membuat kenyataan seperti ahli politik dan jadi ahli politik.