Tutup

"Saya maafkan dia" - Shazmie maafkan pemandu yang langgar keretanya di plaza tol

"Saya maafkan dia" - Shazmie maafkan pemandu yang langgar keretanya di plaza tol
"Saya buat laporan kerana geram dengan tindakan dia melarikan diri." - Gambar Facebook SHAZMIE ILIAS
KUALA LUMPUR: “Saya maafkan dia setelah dia memohon maaf kepada saya pagi tadi,” kata Shazmie Ilias yang merupakan pemilik kereta dilanggar sebuah kenderaan berwarna merah di Plaza Tol Elmina lebuhraya Guthrie, Shah Alam pada Isnin.

Demikian reaksi Shazmie sebagai mengulas rakaman video berdurasi 46 saat yang menjadi tular di media sosial selepas ‘dashcam’ yang dikongsikan beliau menunjukkan sebuah kereta jenama antarabangsa berwarna merah cuba mengelak daripada membuat bayaran tol melanggar kenderaannya.
 
Menerusi rakaman tersebut, pemandu kereta berkenaan kemudian dilihat mengekori rapat sebuah kenderaan lain selepas 'melarikan diri' daripada Shazmie yang menghalangnya.
Ekoran dihalang oleh Shazmie, pemandu berkenaan dengan pantas mengundurkan kenderaannya bagi membolehkannya mengekori kenderaan lain di laluan bersebelahan.

Tindakan pemandu itu yang enggan membayar tol sehingga mengancam keselamatan kenderaan lain mengundangan kecaman dan kritikan daripada netizen.
Dia disifatkan sebagai pemandu yang tidak bertanggungjawab selain ada yang tidak faham dengan sikapnya yang terlalu berkira untuk membayar tol tol tetapi mampu pula memandu kenderaan jenama antarabangsa.

Tidak sekadar menerima kecaman, netizen juga 'bekerja keras' menjejaki pemandu berkenaan dengan mencari latar belakangnya berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan.

Menurut Shazmie, pemandu kenderaan yang mengekorinya dengan rapat akan bertemu dengannya dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kes tersebut.

“Jangan kecam pemilik kereta tersebut, setiap manusia ada buat salah dan silap” kata Shazmie.

Ekoran kejadian pada Isnin juga, Shazmie bertindak membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan memandangkan pemilik kereta itu melarikan diri.

“Saya membuat laporan kerana geram dengan tindakan dia melarikan diri, kalau dia berhenti dan berbincang saya okay sahaja” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Shazmie berkata, sekalipun keretanya tidak mengalami kerosakan yang serius, namun beliau berharap kejadian itu akan menjadi pengajaran dan tauladan buat semua pengguna jalan raya.

Walau bagaimanapun, Shazmie tidak pasti apakah punca pemandu berkenaan mengelak  daripada membayar tol.

Apa yang paling utama, bagi Shazmie, masalah yang berlaku antara dia dengan pemandu berkenaan diselesaikan dengan baik.

“Saya tidak kisah apa alasan dia, tetapi jadilah pengguna yang bertanggungjawab” tegas Shazmie lagi.


Tag: Honda Jazz, media sosial, kereta, Tol Elmina, tol



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.