"Selepas saya bangun, saya duduk sekejap. Ibu (mangsa) ke dapur dan ketika itu saya dengar bunyi runtuhan kuat. Saya melihat ibu sudah dihempap konkrit dan tidak sempat menyelamatkannya,".

Demikian luahan Ramzi Mohammad Sa'at, anak lelaki kepada Hajijah Mahtar, 72 tahun yang dihempap konkrit selepas dapur rumah mereka di Kampung Wawasan Jaya, Samariang, di sini runtuh.

Jelas Ramzi, sebelum kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi, ibunya mengejutkan beliau dari tidur untuk menghantar bapa mereka ke klinik.

Katanya, sebaik sahaja bangun, Ramzi tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dan segera pergi ke bahagian dapur rumah mereka dan mendapati ianya runtuh.

Wanita warga emas ini dipercayai maut selepas dihempap runtuhan konkrit.

"Ketika itu saya melihat ibu sudah dihempap konkrit dan segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk pertolongan," katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini.

Tambah Ramzi, ketika kejadian terdapat enam ahli keluarga mangsa berada di rumah itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Azaharul Sahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi daripada keluarga mangsa yang memaklumkan kejadian tersebut.

Jelas beliau, operasi mengeluarkan mangsa dari timbunan sisa runtuhan segera diatur gerak dan selesai pada jam 8.35 pagi.

Konkrit bahagian dapur rumah mangsa di Kampung Wawasan Jaya, Samariang, Kuching.

Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) sejurus operasi menyelamat mangsa selesai.

“Mangsa telah disahkan meninggal pada jam 8.40 pagi dan kita masih menunggu pihak polis untuk proses selanjutnya. Mangsa juga telah dibawa ke Jabatan Forensik HUS untuk bedah siasat,” katanya.

Menurut Azaharul, struktur rumah yang agak usang dan keadaan tanah lembut dipercayai antara faktor binaan tersebut runtuh.