Isu gelandangan dan pengemis serta sedekah sekali lagi membuatkan nama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi panas.

Ini kerana kenyataan beliau berkaitan isu ini, kononnya pemberi dan penerima sedekah akan didenda, menjadi antara topik hangat dikalangan pengguna media sosial.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan dituduh menghalang warga kota untuk membuat kebaikan dengan bersedekah kepada pengemis dan gelandangan.

Namun, apakah itu sebenarnya dimaksudkan oleh Ku Nan ketika beliau membuat kenyataan mengenai gelandangan dan pengemis di ibu kota?

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, Astro AWANI mendapatkan Ku Nan bagi membolehkan penjelasan lanjut diberikan mengenai isu gelandangan, pengemis, sedekah dan sekatan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi makan kepada golongan ini di ibu kota.

Temubual diadakan di pejabat beliau, pejabat Setiausaha Agung UMNO, selepas Menteri Wilayah Persekutuan itu selesai menghadiri satu majlis di sebelah pagi.

Kira-kira sejam sebelum temubual dilakukan, telah tersebar berita bahawa Ku Nan memberi tempoh kepada NGO yang memberi makan percuma kepada gelandangan di ibu kota sehingga Isnin sebelum pindah ke tempat lain.

Sehari sebelumnya, Ku Nan teruk dihentam, dianggap seorang yang cuba menyekat warga kota bersedekah, seolah-olah beliau pemimpin yang tidak tahu hukum hakam.

"Saya pun tahu hukum bersedekah ini, kadangkala saya pun sedih bila ada pihak yang melabelkan saya seolah-olah tidak tahu hukum," katanya bila ditanya mengenai perkara tersebut.

Mengulas lanjut Ku Nan berkata, beliau meminta pihak-pihak terbabit terutama NGO yang memberi makanan percuma kepada golongan gelandangan supaya tidak mengelirukan rakyat.

Katanya, mereka masih boleh memberi makanan di luar kawasan dua kilometer radius dari simpang empat Lot 10 di Bukit Bintang.

"Ini kawasan tumpuan pelancongan, saya tidak mahu kawasan ini jadi kotor, banyak tikus, ada surat khabar luar negara labelkan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Tikus.

"Kalau NGO ini mahu memberi makan percuma, mereka boleh beri di luar kawasan tersebut, mereka boleh buat bersama surau atau kuil, dalam premis," katanya lagi.

Malah Ku Nan juga menegaskan pihaknya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO terbabit boleh meneruskan aktiviti sukarelawan mereka.

Ahli Parlimen Putrajaya juga menegaskan, kerana penyediaan makanan percuma inilah kebanyakkan pengemis yang telah diberikan pekerjaan ini kembali kepada aktivi mengemis.

"Mereka jadi malas untuk bekerja kerana adanya pihak yang memberi makan percuma. Kami sudah carikan mereka peluang pekerjaan tetapi mereka bekerja dua tiga hari tetapi selepas itu kembali menjadi gelandangan dan pengemis kerana ada yang bagi makan percuma," katanya.

Beliau juga mendedahkan kerana selesa diberi makan percuma ada yang sudah menjadikan mengemis sebagai satu kerjaya dan mampu tinggal di hotel.

"Ada pengemis yang masih muda dan tinggal di hotel seperti hotel Federal di Bukit Bintang, makan di beri percuma oleh NGO ini.

"Pengemis ini pula bukan hanya orang tempatan tetapi ada juga warga asing yang turut melakukan perkara sama, mereka ini juga mengambil kesempatan," jelas beliau.

Ku Nan berkata, kerajaan sudah banyak memberi bantuan kepada golongan ini tetapi sudah menjadi kebiasaan kepada pihak-pihak tertentu, apa saja yang dilakukan kerajaan tidak pernah dianggap baik.

"Saya minta maaf kalau ada yang tidak senang dengan keputusan dan tindakan saya tetapi percayalah ianya untuk kebaikan kita semua," katanya.