Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terpalit dengan kontroversi video lucah.

Katanya, beliau menolak sebarang amalan 'gutter politics' (politik kotor) kerana beliau telah melalui pengalaman tersebut.

"Saya menolak 'gutter politics' ini sebab saya dah laluinya (dan) saya bersimpati dengan keluarga Azmin," katanya ketika mengulas pengakuan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai lelaki dalam video intim membabitkan menteri berkenaan.

Beliau menegaskan, politik kotor tidak sepatutnya berlaku dan sebalik semua pihak perlu memberi tumpuan untuk membangunkan negara.

Kita rakyat Malaysia kena fikirkan lebih mengenai semua kerana kita nak bangunkan negara kita," katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran suaminya, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, Sabtu malam.

-- BERNAMA