Blogger kontroversi Alvin Tan menegaskan dia tidak akan pulang ke Malaysia, walau berapa banyak pun tuduhan digugurkan oleh pihak berkuasa.

Menurut laporan The Rakyat Post, Alvin kini sudah seronok tinggal di Amerika Syarikat dan Malaysia hanyalah 'sejarah' buat dirinya.

"Saya tidak akan pulang, walaupun mereka membentangkan karpet merah sekali pun dan bukakan champagne untuk saya.

"Pulang bukan lagi dalam persoalan saya, biarlah berapa banyak pun tuduhan digugurkan.

"Saya tidak akan sampai saya mati. Saya tidak percaya yang saya akan selamat jika pulang," kata Tan seperti yang dipetik portal itu.

Katanya, keputusan untuk meringankan tuduhan dan digugurkan daripada Akta Hasutan 1948 sudah terlewat.

Sambil mengatakan Amerika merupakan tempat tinggal baharunya, Tan berkata di Malaysia, pihak kerajaan dan masyarakat telah banyak menyakitinya.

Tambahnya, dia kini sedang hidup bahagia serta mengejar cita-citanya di Los Angeles.

Mahkamah Persekutuan pada Rabu telah membebaskan Tan dan bekas pasangannya Vivian Lee daripada tuduhan menimbulkan permusuhan antara penganut pelbagai agama melalui perbuatan mereka memuat gambar menghina umat Islam ketika Ramadan melalui Facebook, lapor Bernama.

Ini berikutan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan dengan alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengenepikan tuduhan terhadap Tan dan bekas teman wanitanya itu.

Tan, atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 27, dan Vivian atau Lee May Ling, 26, bagaimanapun berdepan dengan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen.

Mereka menghadapi tuduhan mengikut Akta Hasutan kerana menyiarkan gambar dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' di akaun Facebook mereka.

Pertuduhan lain ialah menyiarkan gambar pornografi di laman sosial.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur antara 11 dan 12 Julai 2013 dan 6 dan 7 Julai 2013.

Dua tuduhan itu dijadual dibawa untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen pada 6 Mac.