Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar menzahirkan rasa rindu kepada keluarganya di Malaysia selain mengutuskan sepucuk surat yang tidak diketahui kandungannya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Sirul juga membayangkan kesediaannya untuk memberi kerjasama sewajarnya kepada pihak penguatkuasa undang-undang Malaysia dalam kes yang melibatkan dirinya.

"Setelah beberapa tahun terputus hubungan dengan Sirul Azhar, kini syukur kerana hari ini saya bertemu dengannya di Pusat Tahanan Villawood di pinggir bandar barat Sydney.

"Perjumpaan pada bulan Syawal ini amat bermakna dan kami berbual panjang lebar secara ikhlas dari hati ke hati selama lebih kurang sejam setengah.

"Sirul Azhar kelihatan sihat serta tenang di pusat tahanan Villawood yang mana beliau telah ditahan hampir selama lima tahun sehingga kini," katanya dalam catatan di laman Facebooknya, hari ini.

BACA: Kes Altantuya: Petunjuk jelas baharu sudah ada dalam negara - Ramkarpal

BACA:
'Siasat semula kes bunuh Altantuya!'

Jelasnya, surat peribadi tersebut yang dikirim semasa pertemuan itu juga telah diletakkan di dalam sampul yang tertutup dan akan disampaikan kepada Dr Mahathir apabila pulang ke tanah air dalam beberapa hari lagi.


Surat peribadi yang dihantar Sirul kepada Dr Mahathir melalui Khairuddin di Australia - Gambar Khairuddin

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas mendapati mereka bersalah membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu, 28 tahun, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan bahawa Sirul Azhar dan Azilah Hadri bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Sebelum ini, akhbar dan beberapa portal tempatan melapor dengan memetik sumber daripada The Guardian, sebuah akhbar harian Britain sebagai menyebut bahawa pihak berkuasa Australia telah meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi pesalah, Sirul Azhar dan dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh sebulan.

Akhbar itu dilapor berkata bekas pegawai polis itu yang disabit dan dijatuhi hukuman mati atas tuduhan membunuh Altantuya akan meninggalkan Australia selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kos kepulangannya.

Bagaimanapun, peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh sebelum ini memaklumkan, tiada keperluan untuk membawa pulang Sirul Azhar dari Pusat Tahanan Villawood di Sydney kerana petunjuk baharu itu kerana apa yang lebih penting adalah mencari motif dan membawa dalang di sebalik pembunuhan kes berprofil tinggi itu ke muka pengadilan.