Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak tahu sama ada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat ini akan membincangkan isu berkaitan peralihan kuasa Perdana Menteri.

Pengerusi PH itu berkata, beliau juga tidak akan membangkitkan isu itu dalam mesyuarat berkenaan.

"Saya akan menjadi pengerusi.., jadi kerusi," katanya secara berseloroh kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir turut mengulangi janjinya sebelum ini bahawa beliau akan meletakkan jawatan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada hujung tahun ini.

"Saya kata saya bersedia bila-bila masa nak suruh saya letak jawatan, saya letak jawatan.

"Janji saya, saya akan letak jawatan, apa juga keputusan yang dibuat saya akan letak jawatan selepas mesyuarat APEC," kata Dr Mahathir.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas dilaporkan berkata beliau cenderung agar Dr Mahathir menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak APEC dan perkara itu akan dimuktamadkan pada Jumaat ini. - BERNAMA