Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak akan menemui Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam kunjungannya ke New York minggu depan.

Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, beliau akan bertemu dengan ramai pemimpin dunia lain selain berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

"Saya tidak akan bertemu Trump tetapi saya akan berucap di sana, saya juga akan bertemu dengan ramai pemimpin," kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Ditanya apakah isu yang akan dibangkitkan pada perhimpunan itu, beliau berkata, Malaysia akan menyatakan kebenaran.

"Kita akan mengkritik bila kita perlu mengkritik dan kita juga akan memberi pujian terhadap perkara tertentu yang telah dilakukan oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," kata Perdana Menteri.

Sementara itu, ditanya mengenai rang undang-undang pembiayaan politik, Perdana Menteri berkata, undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Menurut beliau, perkara itu amat penting bagi memastikan jumlah yang diberikan kepada parti-parti politik tidak akan dikaut pemimpin-pemimpin tertentu.

"Pada masa ini, orang boleh memberi wang kepada beberapa pemimpin yang mendakwa mewakili parti mereka tetapi mungkin masuk ke dalam poket mereka sendiri.

"Kita mahu tahu berapa banyak wang yang masuk ke dalam parti-parti politik, sama ada ia benar-benar merupakan sumbangan," jelas beliau lagi.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional, Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebelum ini dilaporkan berkata, undang-undang mengenai pembiayaan politik dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Rang undang-undang itu, kata Abu Kassim, merupakan antara undang-undang dan peraturan baharu yang diperkenalkan untuk melengkapkan inisiatif lain untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas daripada gejala rasuah.