Tutup

"Saya tidak bantah, cuma bimbang" - Christy Ng ulas pengumuman cuti bersalin 90 hari

"Saya tidak bantah, cuma bimbang" - Christy Ng ulas pengumuman cuti bersalin 90 hari
Menurut Christy, beliau hanya menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib pekerja wanita apabila cuti bersalin selama 90 hari dilaksanakan. - Facebook IamChristyNg
KUALA LUMPUR: Usahawan Christy Ng menafikan beliau membantah langkah kerajaan meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 ke 90 hari.

Sebaliknya, pengasas jenama Christy Ng Shoes itu hanya menyuarakan kebimbangan berkenaan nasib pekerja wanita apabila langkah itu dilaksanakan.

"Terdapat 70 peratus pekerja wanita di syarikat saya, sudah tentu saya menyokong langkah positif ini.

"Apa yang saya cuba sampaikan ialah langkah ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati kerana mengikut pengalaman, saya melihat ramai wanita terlepas peluang dalam sektor pekerjaan dan jawatan besar kerana situasi ini.
"Ramai majikan lebih gemar mengambil lelaki bekerja dengan mereka, terutama untuk jawatan seperti CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) atau CFO (Ketua Pegawai Kewangan). Ini tidak susah difahami kerana bagi mereka, agak sukar mengambil wanita sebagai teraju jika mereka akan bercuti bersalin selama tiga bulan," ujarnya dalam temubual dalam program Buletin AWANI Khas, pada Sabtu.

Ketika menjadi tetamu program khas Belanjawan 2020 di Astro AWANI pada Jumaat, Christy berkata, langkah kerajaan meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari ke 90 hari mulai 2021 mungkin merugikan pekerja itu daripada segi perjawatan.
BACA: Cuti bersalin 90 hari mungkin rugikan pekerja dari segi perjawatan - Christy Ng

Sehuhubungan itu, Christy berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mencari mekanisme terbaik untuk membantu wanita mengadaptasi dengan cepat dengan kehidupan baharu selepas bersalin.

Antara yang harus ditekankan, kata beliau, tanggungjawab menjaga dan membesarkan anak perlu dipikul sama rata antara suami dan isteri.


"Saya rasa lebih bagus jika cuti paterniti dipanjangkan supaya kaum lelaki boleh turut sama memikul tanggungjawab, bukannya meletakkan sepenuhnya kepada golongan wanita.

"Kita juga perlu mengambil kira usahawan kecil dan sederhana yang mungkin tidak mampu menguruskan perniagaan apabila ada pekerja yang perlu bercuti selama tiga bulan.

"Mereka mungkin tidak meluahkan kegusaran mereka, tetapi mereka akan memilih opsyen yang paling mudah, iaitu menggajikan pekerja lelaki," jelas Christy.

Semasa pembentangan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 meliputi empat perkara termasuk tempoh cuti bersalin, bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.



Tag: Christy Ng, jenama, kasut, cuti bersalin, wanita, kerajaan, usahawan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.