Datuk Husam Musa berkata beliau tidak dimaklumkan untuk hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wang berjumlah RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Dalam sistem pesanan WhatsApp kepada media, bekas naib presiden Pas itu memaklumkan, beliau tidak diberitahu mengenai perkara itu walaupun beberapa pegawai SPRM hadir ke kediamannya di Kelantan pada malam Khamis.

"SPRM tidak ada beritahu saya, saya tidak dimaklumkan, kenapa dia tidak telefon saya?

"Apapun saya akan beri kerjasama, saya mesti hadir jika dipanggil," katanya.

Sementara itu, bekas timbalan presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 8.30 pagi bagi memberi keterangan berhubung dakwaan berkenaan.

Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum ini mendakwa ada butiran berkaitan dana RM90 juta yang didakwa ada kaitan dengan Pas.

Bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam akuan bersumpahnya tahun lalu turut mendedahkan Nasharudin yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), menerima dana membabitkan 1MDB melalui akaun Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Bahagian Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini berkata, SPRM kini sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada bank.

Katanya, buat masa ini, mereka sudah memulakan siasatan dan sedang mendapatkan dokumen daripada bank untuk diteliti selain sudah berhubung dengan dengan saksi untuk membantu siasatan.

Menurut sumber SPRM, siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report mendakwa pimpinan tertinggi Pas mungkin menerima RM90 juta daripada Najib untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Bagaimanapun, minggu lalu Ahli Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.

Abdul Hadi berkata, keputusan menerima penyelesaian di luar mahkamah dengan Rewcastle-Brown adalah disebabkan kos guaman yang terlalu tinggi, menyatakan wang berjumlah berjuta-juta itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.

Najib sebelum ini juga menafikan memberi wang kepada pemimpin Pas serta memaklumkan akaun bank beliau telah pun disiasat oleh pihak berkuasa selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Dalam pada itu, kata Azam, kes itu baru dibuka selain meminta sedikit masa untuk menjalankan siasatan.

Jelasnya, tidak ada sebarang maklumat lengkap yang diterima pihaknya melainkan daripada orang ramai yang mahu SPRM melakukan siasatan.

Beliau turut memberitahu SPRM kini sedang berusaha mendapatkan dokumen berhubung perbicaraan di London.