Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau tidak gentar dan sedia disiasat Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) sekiranya beliau terlibat dengan sebarang salah laku.

Tan Sri Abdul Hamid turut berkata bahawa beliau tidak mempunyai sebarang bantahan malahan seandainya IPCMC tidak wujud sekali pun, beliau tetap bersedia untuk disiasat sekiranya didapati melakukan kesalahan.

"Tiada masalah bagi saya. Kalau tiada IPCMC pun saya rela disiasat jika saya buat kesalahan selaku IGP.

“Saya warganegara Malaysia, tertakluk kepada undang-undang yang sama, apa istimewanya Ketua Polis Negara boleh tangkap orang, bunuh orang, rogol orang, cekik orang dan berbuat sesuatu di luar undang-undang, kalau dah kata kerajaan atau pihak Parlimen nyatakan perlu ada klausa, silakan.. Saya tidak akan bantah," katanya pada sidang media sempena Hari Anugerah 2019, Apresiasi Murid dan Graduasi Sekolah Kebangsaan Jerantut Pahang hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas bahawa Ketua Polis Negara juga tidak akan terkecuali daripada disiasat menerusi suruhanjaya terbabit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin pada Rabu berkata semua aduan salah laku diterima IPCMC terhadap Ketua Polis Negara akan disiasat di bawah Seksyen 24 suruhanjaya berkenaan, sama seperti aduan lain yang diterima terhadap mana-mana anggota polis.

Sementara itu mengulas keperluan permit untuk kempen dari rumah ke rumah atau tinjauan mesra, beliau menegaskan perkara itu tidak dilakukan atas desakan mana-mana pihak.

Beliau mengulas isu terbabit yang tercetus dalam kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Johor hingga menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Jelasnya, arahan permohonan permit itu dikeluarkan bagi mengelakkan berlaku pertembungan antara penyokong parti-parti yang bertanding.

Namun sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati sama ada dari Pakatan Harapan atau Barisan Nasional dan jika kedua-dua pihak bersetuju, arahan itu boleh ditarik balik bila-bila masa.