Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau tidak pernah memasukkan sebarang wang derma untuk pilihan raya ke dalam akaunnya.

Bekas Perdana Menteri itu juga sedia maklum semua akaun peribadinya selama 22 tahun memerintah negara diperiksa oleh individu yang tidak berkepentingan bagi mengesahkan atau menafikan pengakuannya.

"Pada pilihanraya 1964 dan 1969, wang tunai berjumlah RM20,000 dari ibu pejabat diserah kepada saya untuk diagih kepada kawasan parlimen 40 peratus dan kawasan DUN 30 peratus tiap satu.

"Kerana saya tidak sanggup simpan wang tunai sebanyak RM20,000 ini, saya masukkannya dalam akaun saya, dan saya keluarkan cek kepada jawatankuasa pilihanraya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mengikut agihan yang ditentukan oleh Ibu Pejabat.

"Wang ini bukan dari penderma tetapi ini adalah wang UMNO yang memang pun diberi kepada bahagian untuk kegunaan calon," katanya dalam catatan terbaharu di laman blognya.

Jelasnya, Jabatan Hasil Dalam Negeri telah geledah rumah dan kliniknya semasa disingkir dari parti pada tahun 1970.

"Mereka jumpa stub cek yang telah dikeluarkan oleh saya dan mereka mendakwa bahawa saya tidak lapor pendapatan saya sepenuhnya.

"Mereka mendenda saya sebanyak RM300,000 dengan amaran jika saya bantah dan pergi ke mahkamah saya akan dikenakan denda tiga kali ganda.

"Saya tidak pergi ke mahkamah. Sebaliknya saya merayu bahawa duit yang dimasukkan dalam akaun saya ialah dari parti. Tetapi Ibu Pejabat UMNO tidak mengaku wang itu dari UMNO," jelasnya.

Katanya lagi, dia akhirnya dikenakan denda sebanyak RM130,000 pada saat sudah dilantik menjadi Menteri dalam kerajaan.

"Saya membayar secara beransur-ansur dan selesai bayaran semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri," ujarnya.