Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menegaskan bahawa beliau tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat bagi mewakili beliau dalam apa jua rundingan atau perjumpaan dengan individu, syarikat, agensi kerajaan ataupun badan swasta dan syarikat milik kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

"Segala bentuk perjumpaan atau cadangan boleh disalurkan menerusi Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor ataupun Sekretariat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),

"Pentadbiran ini akan menjadi kerajaan untuk semua rakyat Negeri Selangor dan bekerja keras untuk memakmurkan negeri Selangor Darul Ehsan yang tercinta ini," jelasnya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang pertama dipengerusikannya semenjak mengangkat sumpah sebagai Datuk Menteri Besar Selangor yang ke 16 pada 19 Jun 2018.

Antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat ini ialah pembahagian tugas mengikut portfolio di kalangan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Berikut adalah senarai Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan portfolio mereka yang terbaru :

1. Amirudin Shari memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Pembangunan Generasi Muda & Sukan serta Komunikasi Strategik.

2. Datuk Teng Chang Kim pula sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana.

3. V Ganabatirau sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin.

4. Izham Hashim sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

5. Datuk Abdul Rashid Asari sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

6. Dr Shaharuddin Badaruddin memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan.

7. Ng Sze Han pula sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru.

8. Haniza Talha memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar.

9. Dr Siti Mariah Mahmud sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayan Wanita dan Keluarga.

10. Hee Loy Sian sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi.

11. Rodziah Ismail sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Sementara itu Borhan Aman Shah, ADUN Tanjung Sepat turut mengangkat sumpah di hadapan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.