Sebanyak 31,454 permohonan kewarganegaraan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh dari 2015 hingga 30 Jun 2020 mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 28,211 permohonan sedang diproses dengan 9,388 permohonan itu didaftarkan di Sabah.

"Kerajaan juga sedang meneliti secara terperinci mengenai pemohonan di Sabah termasuk anak tanpa kad pengenalan," katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai jumlah permohonan kewarganegaraan yang tertunggak sejak 2015 termasuk di Sabah.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee berhubung isu yang sama, Hamzah memberi jaminan, tempoh pemprosesan bagi permohonan yang lengkap diterima akan lebih singkat berbanding sebelum ini.

"Kementerian telah selesai menambahbaik prosuder operasi standard (SOP) permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Penambahbaikan SOP itu katanya, adalah berdasarkan kepada pematuhan syarat di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964.

Beliau memberitahu, ia juga mengambil kira pelbagai aspek termasuk kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegaraan sedia ada.

Pun begitu, beliau menjelaskan kelahiran di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu memperolehi status kewarganegaraan secara automatik.

"Kewarganegaraan seseorang adalah ditentukan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung," tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) turut meminta kerajaan supaya menyelesaikan isu tersebut dengan berlandaskan sifat berperikemanusiaan.

"Kita perlu ada penyelesaian kerana anak-anak peringkat awal enam, tujuh tahun ditinggalkan ibu bapa. Mereka membesar kerana tiada penyelesaian, tidak bersekolah, tidak keterangan.

"Kita perlu ada sifat perikemanusiaan. Kalau kita nak hantar balik, ke negara mana nak dihantar. Di Filipina pun mereka tidak tahu kampung," katanya.