Tutup

Sebat syariah: Jabatan Penjara pertonton kaedah pelaksanaan hukuman

Sebat syariah: Jabatan Penjara pertonton kaedah pelaksanaan hukuman
Demonstrasi pelaksanaan hukuman sebatan membabitkan pesalah syariah oleh Jabatan Penjara. -Astro AWANI
KAJANG: Pelaksanaan hukuman sebat syariah terhadap dua wanita lesbian di Terengganu pada Isnin lalu heboh diperkatakan selain menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan masyarakat.

Bagi mengelak salah faham, Jabatan Penjara Malaysia tampil memperjelaskan kaedah pelaksanaan hukuman sebatan membabitkan pesalah syariah.

Menurut Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia Datuk Aziz Abdul Razak, pelaksanaan hukuman sebat membabitkan pesalah syariah tidaklah seperti yang digeruni kebanyakan orang.

Sebaliknya hukuman itu menurutnya lebih kepada memberi pengajaran dan bukan untuk mencederakan pesalah.
“Sebelum pelaksanaan hukuman, pesalah akan diperiksa terlebih dahulu untuk menentukan sama ada dia layak atau tidak untuk menjalani hukuman berkenaan.

Menurutnya, prosedur hukuman itu juga berbeza dengan sebatan membabitkan kesalahan jenayah sivil.
“Hukuman sebat syariah ni angkat tangan tinggi pun tak boleh, ia ibarat kita letak buku di celah ketiaklah. Kalau angkat tangan dan rotan sampai jatuh buku tu bermakna itu sudah salah.”


Tambah beliau, pelaksanaan hukuman tersebut sudah lama dilaksanakan dan Terengganu bukanlah negeri pertama melakukannya.

Menjelaskan perkara itu, Aziz berkata pelaksanaan hukuman sebat membabitkan pesalah syariah pertama kali dibuat Jabatan Penjara adalah pada tahun 1997 di Penjara Pangkalan Chepa Kelantan membabitkan seorang lelaki.

Ditanya tempat yang sesuai dilaksanakan hukuman tersebut, beliau berkata ia tertakluk kepada keputusan mahkamah syariah.

"Jika mahkamah memutuskan untuk dilaksanakan di dalam kamar mahkamah, maka pihak penjara akan melaksanakannya di sana. Tetapi jika mahkamah memutuskan untuk dilaksanakan di penjara, maka kami akan laksanakan di penjara,” katanya.

Tambah beliau, proses hukuman tersebut dilakukan oleh pihak penjara dengan begitu teliti dan sangat terlatih, apatah lagi jika membabitkan pesalah wanita.