Sebelas jawatankuasa pilihan khas Parlimen bakal ditubuhkan

Sebelas jawatankuasa pilihan khas Parlimen bakal ditubuhkan
Antara jawatankuasa khas yang akan lebih diberi penekanan dan ditubuhkan secepat mungkin adalah jawatankuasa yang memfokuskan berkenaan isu-isu alam sekitar, perdagangan, hal ehwal antarabangsa, kesihatan dan pendidikan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebelas jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang baharu akan ditubuhkan dalam usaha kerajaan menambahbaik sistem institusi itu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata ia tambahan kepada enam jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan sebelum ini dan cadangan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa baharu itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat secara berperingkat.

"Bagaimanapun, ia tidak akan ditubuhkan serentak dengan kesemua 11 sekaligus, (mungkin) kalau boleh tambah empat dahulu untuk memenuhi keperluan semasa," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel 'Til Eleven Morning Insights With Speaker of the Dewan Rakyat', di Bilik Taklimat, Parlimen, di sini hari ini.
Jawatankuasa pilihan khas khas yang akan ditubuhkan ialah Jawatankuasa Khas Pilihan berhubung Perdagangan dan Hal Ehwal Luar Negeri; Jawatankuasa Khas Pilihan Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kesihatan, Pendidikan, Komuniti dan Pembangunan Sosial; Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Alam Sekitar, Perubahan Iklim, Tenaga dan Teknologi; serta Jawatankuasa Khas Pilihan Ekonomi, Hal Ehwal Bandar, Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Lestari.

Lain-lain ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pembaharuan Pilihan Raya; Jawatankuasa Pilihan Khas Pengangkutan dan Komunikasi; Jawatankuasa Khas Pilihan untuk Pertanian, Perikanan dan Sumber Asli; Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Integriti dan Pencegahan Rasuah; Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Sumber Manusia dan Jawatankuasa Khas Pilihan mengenai Kerja Raya.

Sehubungan itu, Mohamad Ariff berkata antara jawatankuasa khas yang akan lebih diberi penekanan dan ditubuhkan secepat mungkin adalah jawatankuasa yang memfokuskan berkenaan isu-isu alam sekitar, perdagangan, hal ehwal antarabangsa, kesihatan dan pendidikan.

Pada 4 Dis tahun lepas, Mohamad Ariff mengumumkan penubuhan enam Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang; Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet; Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender; Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Beliau mengakhiri sesi panel dengan menekankan perlunya mewujudkan sistem parlimen yang lebih matang dengan memupuk disiplin di kalangan anggota dan eksekutif supaya pelaksanaannya boleh dijalankan dengan lebih cekap, tepat dan ringkas.