Sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menerima hampir 5,000 aduan.

Menurut Pengarah Kastam GST, Datuk Subromaniam Tholasy, kebanyakan aduan yang diterima adalah daripada golongan generasi muda dan pelajar.

"Mereka ini agak mahir dengan GST," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Subromaniam menyatakan bahawa kebanyakan aduan adalah mengenai kenaikan harga dan perbezaan harga produk sejak pelaksanaan cukai baharu itu.

Kerajaan telah memperkenalkan GST bagi menggantikan Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada 1 April tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata sebanyak 815 aduan telah diterima pada hari pertama pelaksaan cukai itu.

Ahmad berkata daripada jumlah itu, 40 peratus merupakan aduan mengenai pembelian prabayar kad tambah nilai telefon yang juga dikenakan caj GST.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengarahkan Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk melihat serta-merta semua aduan daripada pengguna mengenai GST.

Beliau juga menyatakan bahawa semua aduan daripada orang ramai perlu diberi perhatian kerana tindakan itu akan melicinkan pelaksanaan sistem cukai itu.