Mahkamah Sepang hari ini sekali lagi menjadi tumpuan bagi sebutan semula kes dua warga asing yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam.

Sebutan semula kes itu bagi pihak pendakwa raya dan peguam bela kedua-dua tertuduh memberi taklimat kepada mahkamah berhubung perkembangannya.

Pekarangan mahkamah juga dikawal ketat pihak berkuasa polis bagi memastikan tahap keselamatan kes berprofil tinggi itu.

Seperti prosiding sebelum ini, wartawan tempatan dan luar negara perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Antaranya, wartawan yang masuk ke dalam bilik mahkamah tidak dibenarkan membawa sebarang peralatan elektronik termasuk telefon bimbit dan perakam suara.

Pada 1 Mac lalu, warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Jong Nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 13 Februari lalu, Jong Nam dibunuh di KLIA2 ketika menunggu penerbangan ke Macau.

Dia dihampiri dua wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX.

Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.