Kementerian Pendidikan (KPM) mengakui wujud kesan psikologi terhadap murid-murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang gagal mencapai semua 'A'.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kesan negatif itu berlaku lantaran murid yang berjaya meraih semua 'A' dalam UPSR diraikan di semua peringkat termasuk di peringkat sekolah.

"KPM menyedari salah satu daripada kesan yang akan timbul di kalangan anak-anak sekolah di peringkat rendah ini adalah kesan psikologi di mana selama ini kita anggap bahawa kejayaan melalui UPSR itu secara keseluruhan diraikan di semua peringkat.

"Ini sudah tentu sedikit sebanyak beri kesan psikologi kepada mereka-mereka yang tidak mencapai apa yang diharapkan dalam peperiksaan.

"Kesan-kesan ini sudah berlaku sama ada sedar atau tidak sedar," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Dr Noor Azmi Bin Ghazali (BN-Bagan Serai) yang meminta KPM menyatakan kesan psikologi yang diterima oleh pelajar yang mendapat keputusan semua A kecuali satu subjek yang tidak diraikan bersama pelajar yang memperoleh "straight A's" yang sering dilakukan di sekolah-sekolah seluruh negara sebelum ini.

Mengulas langkah yang diambil kementerian berdasarkan kesan psikologi tersebut, Mahdzir berkata UPSR kini bukan hanya dinilai menerusi pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya pelajar turut dinilai daripada sahsiah diri, kokurikulum, penglibatan dalam sukan dan juga kecenderungan pelajar dalam psikometrik.

“Kerajaan sememangnya mengkaji bagaimana untuk masa hadapan sistem (peperiksaan UPSR) yang lebih baik secara holistik.

“Tetapi pada masa ini kita masih memakai UPSR dan pelaporan pentaksiran sekolah rendah.

“Tidak semua keputusan UPSR itu adalah sebagai keputusan yang akademik semata-mata (sebaliknya) tengok juga pada sahsiah diri pelajar, kokurikulum, tengok juga pelajar dari segi sukan dan juga kecenderungan pelajar dalam psikometrik untuk melihat masa depan mereka apabila naik ke sekolah menengah,” katanya.