Agensi-agensi kerajaan yang berkaitan diminta segera menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa ribut di negeri ini, terutama mereka yang mengalami kerosakan rumah bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti biasa.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Romli Ishak berkata kebanyakan rumah-rumah yang terjejas akibat ribut itu hanya mengalami kerosakan di bahagian bumbung, namun jika tidak dibaiki segera, ia boleh menyebabkan kerosakan yang lebih teruk.

"Keadaan rumah masih elok cuma bumbung rosak, jadi kalau lambat dibaiki maka kerosakan akan bertambah. Jadi, segerakan.

"Kita mengharapkan semua agensi buat penyelarasan dan dilaksanakan dengan baik, supaya dapat dilakukan kerja berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan beberapa buah rumah yang rosak di sekitar daerah Kota Setar, mewakili Timbalan Perdana Menteri, di sini pada Khamis.

Semasa tinjauan itu, Romli turut diberikan taklimat mengenai kesan ribut itu oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Left Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub.

Romli berkata, setakat ini APM telah mengenal pasti sejumlah 1,808 buah rumah di 12 daerah di Kedah mengalami kerosakan akibat ribut pada Jumaat lepas, dengan daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah tertinggi iaitu hampir 500 buah rumah.

Dalam pada itu, Romli berkata kerajaan telah meluluskan bantuan untuk memperbaiki rumah yang akan disalurkan pada bila-bila masa.

"Untuk baik pulih (rumah) ada dua kategori iaitu, pertama untuk kategori minor, iaitu maksimum RM5,000 dan kedua, bagi rumah yang mengalami kerosakan teruk atau major, yang memerlukan bantuan melebihi RM5,000 dan kita tengah tunggu kaedah penyaluran bantuan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA