Kerajaan diminta segera mewujudkan undang-undang baharu kepada bekas suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.

Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, langkah itu perlu kerana Islam memberi pembelaan kepada wanita dengan menggariskan hak-hak tertentu yang boleh dituntut oleh wanita selepas bercerai.

"Oleh sebab itu, golongan wanita perlu tahu hak-hak mereka yang telah termaktub di dalam undang-undang keluarga Islam terutamanya selepas bercerai.

"Ketika ini, begitu ramai golongan wanita teraniaya disebabkan tindakan bekas suami yang sengaja tidak membayar nafkah, apa yang menyedihkan perbuatan itu turut memberi kesan kepada anak-anak yang menjadi mangsa akibat perpisahan ibu bapa mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah akan diwujudkan yang mana mempunyai kuasa menyita harta lelaki yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.

Mujahid berkata, kuasa undang-undang yang diperuntukkan kepada Mahkamah Khas Syariah itu adalah antara perkara terkandung dalam Kertas Kabinet.

Kata Mujahid lagi, Kertas Kabinet itu kini di peringkat akhir penilaian termasuk mendapatkan input dan pandangan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, MPMMK berharap penubuhan Mahkamah Khas itu segera dilaksanakan demi keadilan golongan wanita teraniaya.

"Walaupun bekas isteri mungkin dalam kalangan orang senang ataupun sudah bekerja, namun hak tetap hak dan tidak boleh dinafikan.

"Tiada alasan untuk bekas suami tidak membayar nafkah kecualilah jika bekas suami itu sakit kronik, lumpuh ataupun hilang upaya kekal.

"Bagi mereka yang degil, tindakan seperti menyita harta boleh dilakukan bagi memberikan pengajaran," katanya.

Jelasnya, ramai bekas suami yang tidak menghiraukan hukum akhirat apabila sengaja tidak membayar nafkah kepada bekas isteri, jadi mereka perlu diajar dengan hukum agama menerusi pelaksanaan undang-undang baharu.

"Ini perlu dilakukan bagi menjamin kebahagiaan hidup mereka pada masa akan datang," katanya.