Sejak saya masuk kerja sampai sekarang saya 'uphold' integriti saya - Shukri Abdull

Sejak saya masuk kerja sampai sekarang saya 'uphold' integriti saya - Shukri Abdull
"Sejak saya masuk kerja sampai sekarang saya uphold integriti saya," katanya dalam pertemuan bersama media hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menekankan kepentingan integriti dalam dirinya antaranya mengotakan janji yang dibuat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali ke SPRM bagi menerajui agensi itu bagi tempoh setahun sahaja.

Katanya beliau "mengenakan syarat" ketika bersetuju menerajui SPRM untuk tempoh setahun dalam pertemuannya dengan Dr Mahathir pada 14 Mei 2018 selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas dengan memberikan fokus untuk menyelesaikan dua isu utama.

Dua isu itu ialah menyelesaikan siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd dan menyelesaikan isu dalaman "berpuak-puak" serta berpecah belah dalam SPRM, dimana beliau yakin dapat menyelesaikannya dalam tempoh enam bulan ke setahun, katanya.

Mohd Shukri berkata beliau cukup menjaga dan mementingkan integritinya dan tidak pernah menyalahgunakan "satu sen duit kerajaan" pun dalam tempoh 33 tahun perkhidmatannya dalam perkhidmatan awam.
"Sejak saya masuk kerja sampai sekarang saya uphold integriti saya," katanya dalam pertemuan bersama media di sini hari ini.

Mohd Shukri, 58, memendekkan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020, yang dilakukan dengan ikhlas setelah misinya untuk menyelesaikan dua isu utama tersebut tercapai.

Mohd Shukri turut menafikan beliau sengaja memendekkan kontraknya secara tiba-tiba.

"Saya pegang kepada janji saya dengan Tun M (Dr Mahathir). Kalau saya tidak pegang janji saya dengan Tun. Saya Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya kena pegang integriti. Saya kena pertahankan integriti saya. Saya kena tunaikan janji saya . Kalau saya tidak tunaikan janji dan pertahankan integriti, macam mana saya hendak jadi Ketua Pesuruhjaya SPRM?" katanya.

Mohd Shukri menegaskan beliau tidak berkompromi soal integriti dari dulu sehingga sekarang.

"Jadi tuduhan mengatakan saya dipecat, melindungi orang tertentu dan sebagainya adalah tidak berasas," katanya.

Mohd Shukri bersara awal sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) pada 31 Julai 2016 sebelum kembali sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei 2018 untuk tempoh dua tahun secara kontrak apabila kerajaan baharu Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan selepas memenangi PRU14.

Pada 4 Jun, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Beebi Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuatkuasa 1 Jun lalu selepas Mohd Shukri menamatkan kontraknya lebih awal.

--BERNAMA

Tag: Mahathir Mohamad, Pakatan Harapan, 1MDB, SRC International, pilihan raya umum, rasuah, Malaysia, Mohd Shukri Abdull, 1Malaysia Development Bhd, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.