Ahli sejarah tempatan masa kini dilihat tidak begitu bekerja keras dalam menjalankan penyelidikan terperinci terhadap sejarah negara.

Menurut pakar sejarah, Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, kekurangan aktiviti kajian yang mendalam terhadap pembuktian fakta sejarah negara menjadi faktor utama subjek itu kurang memberi impak dalam proses pembentukan negara bangsa.

"Sekarang mereka tidak begitu rajin, tidak macam dulu. Mereka tidak begitu sanggup mencari bahan dan kebanyakan bahan tentang negara ini misalnya berada di London, atau sekurang-kurangnya di Singapura. Bukan di Kuala Lumpur.

"Kita bernasib baik kerana banyak bahan, kita hanya yang perlu mencari bahan-bahan tersebut sama ada di Amsterdam, di Lisbon, di Singapura mahupun di Jepun.

"Bagaimanapun saya lihat, mereka kebanyakannya tidak memiliki kesanggupan tinggi. Jika bahan sejarah negara itu berada dalam simpanan Belanda dan ditulis dalam bahasa Belanda, mereka tidak memiliki keazaman untuk belajar bahasa tersebut demi mengkaji bahan itu.

"Itulah masalahnya, dan mereka tidak ada usaha untuk bawa balik bahan-bahan itu," jelasnya selepas menjadi antara panel forum bertajuk "Harmony: Dressing to a Bowl of Salad" dalam Sidang Kemuncak Aspirasi dan Kepimpinan Kebangsaan 2016 (NALS 2016) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Ahad.

Katanya, sejarah bukan sekadar cerita, tetapi harus berdasarkan penyelidikan dengan penggunaan bahan-bahan yang boleh dibuktikan.

"Sejarah yang sekadar diceritakan oleh orang ramai itu tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa pembuktian."

Beliau juga melihat kerajaan kurang memberi sokongan terhadap sebarang usaha penyelidikan sejarah negara berbanding bidang sains dan teknologi yang sentiasa mendapat peruntukan besar.

Disebabkan itu, masyarakat khususnya golongan muda tidak begitu memahami sejarah negara ini serta sosiobudaya masyarakatnya, seterusnya menyumbang kepada kekeliruan yang mendorong kepada kesukaran untuk membentuk persepaduan jitu sebagai bangsa Malaysia.

"Bila tidak faham, mereka mudah dikelirukan oleh ahli-ahli politik yang 'nakal'.

"Jadi, keharmonian sebenar sukar untuk dicapai kerana satu kaum masih tidak memahami kaum lain secara budayanya. Kalau kita masuk ke kedai kopi pun, selalu kita akan nampak satu meja diduduki oleh satu kaum sahaja. Ini sudah berapa tahun selepas 1957 (kemerdekaan negara)," ujarnya.