“Saya tahu saya salah (berdua-duaan), tapi saya baru je kena (tangkap). Saya tengah kemas barang, dia tengah lipat baju, kami tak buat apa-apa pun.”

Itu alasan yang diberikan seorang anggota keselamatan yang ditangkap sekali lagi kerana didapati berdua-duaan dengan pasangannya yang bukan muhrim.

Lelaki itu yang berusia 30 tahun dan pasangannya seorang janda berusia 32 tahun, ditahan pasukan penguat kuasa yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Batu Rakit, pada jam 12. 10 tengah hari semalam.

Dia pada mulanya tergamam kerana sekali lagi ditahan pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan mendakwa, perempuan itu hanya membantunya melipat baju manakala dia sedang bersiap-siap untuk mandi.

Lelaki berkenaan turut menjelaskan pasangannya itu adalah tunangnya sendiri dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Sebelum ini, lelaki itu pernah di tangkap pada bulan Ogos tahun lalu bersama perempuan lain dan difahamkan, kes tersebut masih di peringkat mahkamah dan berstatus lawan bicara.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berkenaan.

Jelasnya, lelaki tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat manakala pasangannya akan didakwa di bawah Seksyen 31 (b), enakmen yang sama.

Katanya, JHEAT tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya melakukan kemungkaran dan akan terus mempertingkatkan operasi dalam membanteras jenayah syariah di negeri ini.