Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) ‘merompak’ duit bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bercakap pada Forum Belanjawan 2020 hari ini, beliau mengungkap perkara itu ketika menjelaskan berkenaan dividen khas Petronas kepada Kerajaan berjumlah RM30 bilion.

Beliau ditanya moderator, Wong Sue Wan pada sesi soal jawab supaya memberi jaminan bahawa Kerajaan tidak akan ‘menyerang’ semula Petronas.

“Saya berkecuali untuk menggunakan perkataan ‘serang’ kerana kami menggunakan dividen dari Petronas untuk membayar balik GST.

“(Duit) ini sebenarnya dicuri oleh kerajaan terdahulu kerana mereka menggunakannya dan tidak mengembalikannya kepada pembayar cukai,” katanya pada sesi soal jawab itu.

Tegasnya, apa yang penting adalah Kerajaan telah membayar balik apa yang sepatutnya diterima oleh komuniti perniagaan sejak lima tahun lalu.

Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat dilaporkan menyatakan tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu apabila ia tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

Bagaimanapun, hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan dana itu tidak hilang, sebaliknya ia dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.