Tutup

Sekatan Iran: Malaysia tidak mampu buat apa-apa - Tun M

Sekatan Iran: Malaysia tidak mampu buat apa-apa - Tun M
Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak memutuskan hubungan perniagaan dan perdagangan dengan Iran, kata Dr Mahathir Mohamad. - Gambar Pejabat Perdana Menteri/ NURHILMY BASIRON
NEW YORK: Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak memutuskan hubungan perniagaan dan perdagangan dengan Iran, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, Malaysia pada masa sama perlu kekal menjalin perniagaan dan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) untuk memastikan kelangsungan ekonominya.

“Kita tidak mahu memutuskan hubungan dengan Iran, tapi kami dimaklumkan jika kami jalin perniagaan dengan Iran, kami akan dikenakan tindakan.

“Kita ada banyak perniagaan dengan banyak negara termasuk AS. Jika kami mempunyai masalah perdagangan dengan AS, jika mereka tutup bank kami, kami akan berdepan masalah.
“Jadi, atas alasan itu, sementara kami menentang sekatan, kami tidak mampu melakukan apa-apa. Secara umum dunia tdak mampu berbuat apa-apa walaupun kita mempunyai PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya pada sidang media bersama wartawan antarabangsa di Ibu Pejabat PBB di sini pada Jumaat.

Jelasnya, badan dunia itu tidak mampu menyekat AS lantaran kuasa veto yang dimiliki mereka.
Menurutnya, jika sebarang resolusi dibuat, pastinya AS dan kuasa besar lain yang mempunyai kuasa veto akan menggagalkan resolusi tersebut.

AS sebelum ini sekali lagi mengenakan sekatan ke atas Iran yang menyasarkan sektor ekonomi yang tidak terjejas sebelum ini.

Keputusan itu diumumkan genap setahun selepas Washington mengumumkan menarik diri dari Perjanjian Nuklear 2015 dengan Iran.

Menurut White House, Washington mahu memberi mesej jelas bahawa urusniaga dengan Iran adalah tidak wajar susulan cita-cita nuklear republik itu.

Antara sekatan dikenakan sebelum ini adalah import minyak dari Iran.


Tag: Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, PBB, Iran, Amerika Syarikat, perdagangan, ekonomi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.