Sekatan penyampaian berita jadikan wartawan, penerbit TV lebih kreatif

Sekatan penyampaian berita jadikan wartawan, penerbit TV lebih kreatif
Suhaimi melancarkan buku yang menceritakan perjalanan hidupnya selama 25 tahun dalam dunia penyiaran. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebarang kekangan untuk penyampaian berita boleh diselesaikan dengan sikap kreatif wartawan dan penerbit oleh stesen televisyen itu sendiri.

Penulis buku 'I Hate Reading The Teleprompter', Suhaimi Sulaiman berkata, sekatan juga membuka jalan kepada wartawan atau penerbit mencari alternatif untuk menyiarkan berita berkenaan.

Katanya,  apa sahaja kekangan penyiaran berita bukan satu faktor yang harus menjadi alasan ia tidak dapat disampaikan kepada penonton.

"Saya rasa kita tidak boleh salahkan kekangan untuk kita tidak menjadi kreatif. Lagi banyak kekangan, kita sepatutnya menjadi lebih kreatif, jadi itu terpulang kepada wartawan dan penerbit untuk menjadi hebat.

"Sebab dalam dunia penceritaan ini, saya percaya kepada pendekatan pemikiran lateral di mana kalau diletakkan sekatan, kita akan menjadi lebih kreatif," katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran buku tulisannya itu.

Buku itu merupakan catatan fasa menarik dalam perjalanan hidupnya mencipta nama sebagai seorang penyiar, penyampai berita televisyen dan perantara rancangan bicarawan terhebat negara.

Perjalanan Suhaimi dalam dunia peniyaran dan kewartawanan bermula pada tahun 1990 apabila memulakan karier sebagai wartawan dan penolong penerbit berita dan ehwal semasa sebuah syarikat televisyen selepas meninggalkan dunia perbankan.

Buku itu juga sesuai dijadikan rujukan wartawan, pelajar dalam bidang penyiaran, pensyarah kumunikasi massa, perunding jenama, eksekutif pemasaran dan pemimpin serta pemikir.
Tambahnya, buku itu turut memberi penekanan keperluan wartawan untuk mempelajari cara-cara baharu menjadi pencerita pada masa penonton kini mempunyai pelbagai platform untuk mendapatkan berita.

Buku itu bukan sahaja menceritakan perjalanan hidupnya selama 25 tahun dalam dunia penyiaran malah cerita zaman persekolahannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Portland State University di Amerika Syarikat.