Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Sekolah akan mula dibuka sepenuhnya, ini 13 perkara yang anda perlu tahu

Sekolah akan mula dibuka sepenuhnya, ini 13 perkara yang anda perlu tahu
Radzi umum pembukaan penuh sekolah secara berperingkat, bermula 15 Julai.
PUTRAJAYA: Semua sekolah di seluruh negara yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) akan mula dibuka secara berperingkat bermula 15 Julai, dengan mengaplikasikan tiga jenis model operasi.

Berikut adalah 13 perkara penting yang anda perlu tahu dalam sidang media Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin, pada Rabu.

1. Murid sekolah rendah Tahun Lima dan Enam, Tingkatan Satu hingga Empat, kelas peralihan dan Tingkatan Enam Semester 1 akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai 2020.

2. Pelajar sekolah rendah Tahun Satu hingga Empat pula akan kembali ke sekolah bermula 22 Julai 2020.
3. Pembukaan semula sekolah hanya terhad kepada pengajaran dan pembelajaran. Sebarang aktiviti ko-kurikulum adalah tidak dibenarkan.

4. Tiga model pengoperasian yang dikenal pasti oleh KPM adalah Model Satu Sesi, Model Dua Sesi dan Model Penggiliran.
5. Maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh KPM selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya.

6. Model Satu Sesi ialah untuk sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, setelah mengambil kira penjarakan sosial.

7. Model Dua Sesi ialah untuk sekolah sedia ada yang telah beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

8. Model Penggiliran ialah untuk sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi.

9. Bagi Model Penggiliran, kaedah pembelajaran murid adalah secara hibrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah.

10. Pembukaan semula sekolah berasrama akan dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing. Bagi asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari selepas 24 Jun 2020.

11. Semua institusi pendidikan swasta di bawah kategori pusat berdaftar dengan KPM boleh dibuka semula pada 15 Julai 2020. Ini termasuk pusat tuisyen, pusat bahasa dan pusat perkembangan.

12. Kantin sekolah boleh beroperasi namun waktu rehat pelajar perlu dijalankan secara berperingkat dan makanan perlu dibungkus terlebih dahulu. Pelajar digalakkan membawa makanan sendiri.

13. Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, mereka disarankan untuk mematuhi tarikh cadangan pembukaan semula oleh KPM dengan mematuhi semua SOP yang sudah ditetapkan.


Tag: Radzi Jidin, Kementerian Pendidikan, sekolah, pelajar, pendidikan, penjarakan sosial, pengajaran dan pembelajaran



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.